Kolaborasi Industri: Sinergi Kepakaran dan Sesi Perkongsian oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd.

Kolaborasi bersama pihak industri adalah salah satu strategi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di institusi pengaiian tinggi yang menerapkan nilai-nilai perkongsian ilmu yang lebih menarik dan berkesan. Selaras dengan kepakaran yang ada, amalan pengajaran kolaboratif yang diperkenalkan ini mampu mengoptimumkan pengetahuan dan kemahiran para pelajar di samping memberikan pendedahan tentang perkembangan industri kepada pelajar dan menghubungkan jaringan antara UiTM dan pihak luar.

Justeru, satu sesi Pengajaran dan Pembelajaran secara kolaboratif (Collaborative Teaching Session) bersama pihak industri telah dianjurkan pada, Jumaat, 5 Januari 2024 bertempat di Dewan Kuliah, Kolej Pengajian Alam Bina. Program ini menggabungkan dua (2) kod kursus iaitu CMA433 (Sains Persekitaran dan Kejuruteraan Kemudahan Bangunan) dan CMA533 (Sistem Persekitaran Bangunan) anjuran Bidang Pengurusan Pembinaan, Pengajian Pembinaan dan Ukur Bahan, Kolej Pengajian Alam Bina. Sesi Pengajaran dan Pembelajaran yang telah dijalankan pada hari tersebut memfokuskan keseluruhan input dan maklumat berkaitan Menara Merdeka 118, yang telah dibina dan bakal menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia.

  

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang proses dan amalan dalam kerja-kerja pembinaan secara keseluruhannya, dan memupuk minat pelajar terhadap bidang pembinaan secara khusus di samping memperkasakan pengetahuan para pelajar tentang hal-hal semasa berkaitan industri pembinaan Malaysia.

Program ini telah dihadiri seramai lebih kurang 150 orang pelajar dan 5 orang pensyarah yang mengajar kedua-dua kod kursus berkenaan. Program dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Ketua Pengajian, Ts Dr Julitta Yunus yang mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar dan pensyarah yang hadir serta mengalukan para panel industri yang sangat berpengalaman dan antaranya merupakan bekas pelajar Bidang Pengurusan Pembinaan. Seramai 3 orang panel industri telah dijemput untuk tujuan ini iaitu Encik Muhammad Hafiz Shafee (QAQC Manager, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd.), Encik Mohd. Onny Faisal Abdullah (Safety & Health Manager, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd.) dan Encik Mohd. Faizal Adam (MEP Manager, Turner International (M) Sdn. Bhd.).

Antara pengisian dalam program ini ialah pengenalan secara terperinci tentang Menara Merdeka 118 termasuklah proses pembinaan, fakta-fakta penting berkenaan pembinaan bangunan, termasuklah maklumat terperinci berkaitan sistem persekitaran bangunan, sistem kejuruteraan bangunan dan kemudahan-kemudahan berkaitan sains persekitaran bangunan yang terdapat pada menara tersebut. Para pelajar juga telah didedahkan secara ringkas tentang hal-hal berkaitan keselamatan Menara Merdeka 118 yang sehingga kini telah menyandang gelaran sebagai Menara Tertinggi Kedua di dunia.

Program yang bermula pada 8.30 pagi ini telah berakhir pada jam 11.45 pagi dan satu sesi penyampaian cenderamata telah diadakan bagi menghargai kesudian para panel industri menjayakan sesi kolaborasi ini di samping berkongsi maklumat, pengalaman dan kemahiran mereka.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai matlamat sinergi kepakaran antara pensyarah dan pengamal industri dan secara khususnya matlamat utama program ini untuk mendedahkan para pelajar dengan perkembangan industri pembinaan dan juga sebagai nilai tambah dalam proses pembelajaran mereka bagi kedua-dua kod kursus yang diambil pada semester ini. Di samping itu, program ini telah memberi peluang kepada pensyarah sebagai suatu inovasi di dalam Pengajaran dan Pembelajaran.